KEMAMAN – Seorang bekas pekerja ladang sawit kehilangan mata pencarian kerana tidak mampu lagi bekerja selepas menghidap kanser kelenjar jantung sejak dua tahun lalu.
Mohd Lutfi Abdul Halim, 33, dari Kampung Dadong, Air Putih di sini berkata, dia kini sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Kemaman sejak seminggu lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia menerima rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum pulang ke Kemaman untuk meneruskan rawatan di sini.
"Kalau ikutkan daripada apa yang doktor beritahu, harapan untuk saya hidup sudah semakin tipis.
"Saya hanya berserah semuanya kepada ALLAH SWT dan dalam masa yang sama berusaha dengan beberapa cara yang saya mampu untuk merawat penyakit ini," katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia hanya bergantung harap kepada isterinya, Siti Mariani Mohd Zainal Abidin, 34, yang bekerja sebagai tukang cuci pejabat dengan pendapatan kira-kira RM1,300 sebulan.
"Saya sendiri tak dapat bayang macam mana sebab isteri saya terpaksa membelanjakan gaji untuk keperluan rumah dan membesarkan dua orang anak yang masih kecil berusia enam tahun dan empat tahun.
"Isteri saya juga perlu berulang-alik dari rumah ke tempat kerja di Bandar Chukai, di sini sejauh 30 kilometer (km) setiap hari," katanya.
Jelas Mohd Lutfi, dia kini buntu untuk mencari sumber pendapatan memandangkan isterinya terpaksa memikul tanggungjawab seorang diri.
"Saya sudah dua tahun tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan daripada orang kampung.
"Walaupun isteri bekerja dia sendiri perlu tampung kos ulang alik dari rumah ke tempat kerja dalam RM5 hingga RM6 sehari serta mengisi minyak motosikal.
"Itu belum termasuk kos makan minum. Anak-anak pula masih kecil dan masih memerlukan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa, malangnya saya tidak mampu untuk beri perhatian kepada mereka," ujarnya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Lutfi di talian 010-9851949.