BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua pada Rabu.
Aaron-Wooi Yik yang berstatus nombor enam dunia mara selepas menewaskan gandingan ranking 30 dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard di Gimnasium Kumamoto.
Biarpun begitu laluan pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu ke pusingan kedua tidak hadir mudah apabila dijinakkan 21-15 dalam set pertama.
Namun Aaron-Wooi Yik yang masih mengintai peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, pada Disember bangkit dua set berikutnya dengan kemenangan 21-17, 21-9 dalam masa 52 minit.
Kemenangan dalam kejuaraan berstatus Super 500 itu membolehkan Aaron-Wooi Yik berdepan gandingan nombor 59 dunia Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada Khamis.
Bagaimanapun cabaran beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berakhir apabila tewas 15-21, 12-21 kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand dalam masa 32 minit.
Dechapol-Supissara baharu digandingkan selepas Thailand mula merombak gandingan masing-masing setelah berakhir Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Bekas juara dunia Dechapol dan Sapsiree Taerattanachai bertukar gandingan dengan Sapsiree kini bermain bersama Supak Jomkoh, yang sebelum ini digandingkan dengan Supissara.