Projek ECRL: Kerja gali, pindah kubur di Selat Klang dilaksanakan esok

Iklan
Rani bersama-sama waris menghantar memorandum bantahan di Pejabat SUK Selangor pada Rabu.

KLANG - Kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini didakwa akan dilaksanakan pada Khamis.

Seorang waris, Zafirah Zakaria, 34, berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi satu notis yang dikongsi ahli dalam sebuah kumpulan Facebook.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, selain itu notis bagi pengalihan turut ditampal pada pagar zink di tanah perkuburan berkenaan.

"Kami dimaklumkan esok (Khamis) akan dilaksanakan (pengalihan kubur), namun kami masih berpegang dengan pendirian membantah projek berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Menurut Zafirah, majoriti waris tidak bersetuju pengalihan kira-kira 90 kubur bagi memberi laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Saya anggap tiada sebarang situasi menang-menang antara pihak bertanggungjawab dan waris terlibat.

Iklan

"Rata-rata waris telah beberapa kali membuat laporan polis bagi membantah penggalian kubur tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, waris terlibat akan hadir bagi menyatakan bantahan di tanah perkuburan itu pada Khamis.

Beliau memberitahu, ikhtiar terakhir penduduk adalah dengan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada petang Rabu.

"Saya difahamkan, serahan memorandum itu akan diketuai aktivis sosial, Rani Kulup di Pejabat SUK (Pejabat Setiausaha Kerajaan) Selangor pada jam 2 petang ini," katanya.

Seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, seramai 48 waris sebulat suara tidak bersetuju kerja-kerja pemindahan kubur terbabit.

Hazlina memberitahu, waris mencadangkan projek ECRL itu tidak dilaksanakan membabitkan tanah perkuburan sebaliknya perlu dilencongkan ke tanah lain yang lebih bersesuaian.

"Kami tidak mahu tanah perkuburan ini diusik dan berharap kerajaan dapat memahami isu sensitif ini.

"Hari ini saya bersama dengan lebih 20 waris hadir ke SUK Selangor bagi menghantar memorandum bantahan tersebut," ujar beliau.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai perkara berkenaan.

Sebelum ini, penduduk turut menyuarakan bantahan menerusi memorandum tiga muka surat berikutan pemindahan 90 tapak Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Menerusi memorandum itu, penduduk mengemukakan tuntutan antara lain meminta pihak terlibat menyediakan garis panduan pemindahan kubur di negeri ini.

Antara tuntutan itu termasuklah surat permohonan pemindahan kubur dari pihak ECRL kepada JAIS.

Tuntutan lain, seperti mendapatkan makluman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor kepada JAIS menyatakan kebenaran berkaitan surat kebenaran JAIS meliputi perkara-perkara yang diwartakan di dalam garis panduan tersebut.

Tuntutan itu turut menyatakan, sekurang-kurangnya seorang waris dibenarkan melihat sepanjang proses pemindahan dilakukan selain kerajaan negeri perlu menanggung kos kepuk dan batu nisan serta segala kerosakan lain.