Isteri kerap berleter dengan suami, ketahui hukumnya

Iklan
TIDAK berdosa jika seorang isteri membebel kerana ia sudah menjadi tabiat bagi kaum Hawa. -Foto: CANVA

WANITA dengan leteran berpisah tiada kerana ia sememangnya fitrah bagi kaum Hawa.

Kata orang, lebih baik perempuan bercakap daripada diam seribu bahasa kerana itu petanda bahaya dan menandakan mereka tidak sihat.

Iklan
Iklan

Walaupun bukan semua wanita suka atau kuat membebel, namun sifat semula jadi itu tanpa sedar akan hadir terutama apabila bersama insan tersayang.

Ia sehinggakan ada ketikanya suami terpaksa menadah telinga untuk mendengar bebelan isteri. Itu belum lagi apabila pasangan mereka berleter kepada anak-anak yang melakukan kesalahan.

Iklan

Persoalannya, apakah hukum isteri suka berleter dengan suami? Berdosakah mereka?

USTAZ AZHAR IDRUS

Iklan

"(Bayangkan) jika berleter itu berdosa, maka banyaklah orang perempuan masuk neraka.

"Jadi maafkanlah mereka berleter dan biarkan mereka (dengan sifat tersebut),” katanya menerusi video bertajuk ‘Berdosakah isteri yang suka berleter’.

Jika diteliti, ujar agamawan itu, golongan wanita terkenal dengan mulut dan batin iaitu perasaan mereka.

"Lelaki pula kekuatannya terarah kepada perkara lain seperti berjalan, berlari, angkat barang berat, menumbuk dan sebagainya.

"Lihatlah antara nenek dengan datuk dan ibu dengan bapa kita, siapa yang banyak mulut? Sudah tentu nenek dan emak. Itu perkara biasa, terimalah mereka seadanya,” ungkapnya.

Ustaz Azhar menambah, bukan semua manusia sempurna dan pasti ada cacat-cela di mana-mana termasuklah orang perempuan.

"Walaupun mereka membebel sampai kita (suami) hendak makan nasi pun payah, biarkan saja dan jangan marah mereka.

"Apatah lagi merekalah insan yang selama ini menanak nasi untuk kita, membasuh pakaian suami dan bahkan tolong melahirkan anak-anak untuk kita,” tuturnya.

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari menjelaskan, ALLAH SWT menjadikan wanita beremosi dan Rasulullah SAW menyatakan bahawa perempuan diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok.

USTAZ IQBAL ZAIN AL-JAUHARI

Ketahuilah bahawa tulang yang bengkok itu ada keindahannnya.

"Jika kita memandang bebelan, cerewetnya dan leterannya (isteri) itu hanya manifestasi jalal (sifat-sifat kebesaran) tanpa memandang dari sisi jamal (keindahan) ALLAH SWT, maka ia memberi penderitaan kepada kita.

"Kaum Hawa letih menguruskan pekerjaan sehariannya dengan (perihal) rumah, anak, pakaian, uruskan suami dan lain-lain.

"Kepenatan seorang wanita itu terbuku di dalam (hati) dan perlu dikeluarkan dengan cara mengeluarkannya dari lidah (bercakap),” katanya dipetik menerusi video yang dimuat naik dalam YouTube Cocombee.

"Bagaimanapun, itu bukanlan alasan untuk isteri berleter sepanjang masa. Adakalanya suami perlu faham bahawa isteri perlu untuk melepaskan dan meluahkan apa yang terbuku (dalam hati), kepenatan, keletihan dan sebagainya kepada lelaki.

"Bagi kaum lelaki, jika letih, mereka lebih suka diam, berbeza dengan wanita. Jadi cantik (aturan ALLAH) dan ini menyebabkan sesebuah rumah tangga harmoni.

ISTERI letih menguruskan pekerjaan sehariannya termasuk dalam perihal rumah, anak, pakaian, suami dan lain-lain yang memerlukan mereka meluahkan apa terpendam dalam hati.

"Bayangkanlah kalau isteri juga tidak mahu melepaskan (bercakap), maka rumah tangga itu senyap,” ungkapnya.