Pernas biaya RM500,000 pembukaan cawangan ke-48 Seoul Garden

Iklan
Pelancaran cawangan ketiga Seoul Garden Korbi Grill di Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyalurkan pembiayaan sebanyak RM500,000 di bawah skim Successful Woman Entreprenuership Engagement Talent (SWEET) bagi pembukaan cawangan ke-48 jenama Seoul Garden iaitu Seoul Garden Korbi Grill.

Francais bidang makanan dan minuman (F&B) milik Zingapore Grill Private Limited itu menerima manfaat pembiayaan tersebut melalui Program Be Your Own Boss (BYOB).

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah berkata, cawangan ketiga Seoul Garden Korbi Grill tersebut menjadi penerima bantuan pembiayaan yang pertama daripada Pernas.

"Pernas mengalu-alukan lebih ramai usahawan untuk menyertai program BYOB di mana bakal usahawan bukan sahaja menerima bantuan pembiayaan.

Iklan

"Malah latihan mengenai francais secara komprehensif melalui Franchise Institute yang dimiliki Pernas serta pantauan selama enam bulan yang pertama bagi memastikan bakal usahawan menjalankan perniagaan mereka dengan baik," katanya dalam kenyataan sempena Pelancaran cawangan ketiga Seoul Garden Korbi Grill di sini pada Isnin.

Hadir sama, francaisi Seoul Garden Korbi Grill cawangan Jaya Shopping Centre, Afizah Hamdan.

Iklan

Seoul Garden Korbi Grill kini mempunyai cawangan di MyTown Shopping Mall, Kuala Lumpur, The Summer Shopping Mall, Kuching dan yang terbaharu di Jaya Shopping Centre, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Francais, Zingapore Grill Private Limited, Wan Khairul Annuar Wan Zainal berkata, pihaknya kini sedang mempergiat usaha melebarkan sayap dengan membuka 15 cawangan baharu pada tahun depan.

Katanya, pembukaan cawangan berkenaan termasuklah empat cawangan Seoul Garden Buffet, dua cawangan Seoul Garden Hotpot dan sembilan cawangan Seoul Garden Korbi Grill.

"Pembukaan cawangan jenama ini tidak terhad secara agresif di dalam negara, malah kami juga telah menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Brunei, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Singapura.

"Usaha menambah jumlah cawangan di negara ini turut disokong oleh Pernas dengan bantuan pembiayaan dan latihan kepada para francaisi," katanya.