JEMPOL - Penduduk di Pekan Rompin dan sekitarnya lega apabila tidak perlu lagi menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer untuk mendapatkan rawatan kesihatan selepas Klinik Kesihatan Rompin siap dibina dan memulakan operasi pada Isnin lalu.
Sebelum ini, penduduk sini terpaksa pergi ke Klinik Kesihatan Bahau untuk mendapatkan rawatan.
Klinik Kesihatan Rompin dilengkapi dengan unit kecemasan, klinik pergigian dan wad bersalin sekali gus mampu memberi manfaat kepada 20,000 penduduk sekitarnya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, pembinaan klinik ini suatu yang ditunggu-tunggu penduduk dan telah lama diperjuangkan.
"Sebelum ini jika ada kecemasan, penduduk perlu menunggu lama untuk ambulans sampai sebab klinik yang ada agak jauh, kini semuanya dapat diatasi," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pembinaan klinik kesihatan jenis empat dengan keluasan kira-kira tiga hektar itu telah diluluskan perbelanjaannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Rompin, Norizam Othman berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mengusahakan pembinaan klinik tersebut sejak 15 tahun lalu.
"Saya sebagai penduduk Kampung Baru Rompin berasa amat gembira kerana penantian selama ini telah berakhir.
"Kami berharap klinik kesihatan ini sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk semua dan menambah baik keperluan yang sedia ada terutamanya doktor," katanya.