Syarat wajib papar harga ubat di fasiliti kesihatan swasta tidak praktikal

Iklan
Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira

SHAH ALAM - Pelaksanaan ketelusan harga di klinik Pengamal Perubatan Am swasta (GP) dengan mewajibkan paparan harga setiap ubat bukanlah pendekatan yang praktikal.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, klinik GP menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan profesional bukan transaksi runcit.

Iklan
Iklan

Menurutnya,paparan senarai harga ubat penuh di kaunter akan menambahkan beban pentadbiran serta meningkatkan kos operasi secara ketara.

"Kos tambahan ini, bersama jadual fi GP yang tidak berubah dan perbelanjaan yang semakin meningkat akan membebankan operasi klinik. Ia juga mungkin menyebabkan penutupan seterusnya mengurangkan akses pesakit kepada penjagaan kesihatan asas.

Iklan

"Selain itu, menjadikan klinik seperti ruang jualan runcit berisiko merosakkan kualiti hubungan doktor dan pesakit yang akan mengalihkan tumpuan daripada penjagaan kesihatan kepada perbandingan harga," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat bermula tahun depan.

Iklan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi meningkatkan ketelusan dan harga ubat agar tidak dinaikkan sewenang-wenang.

Tambah Kalwinder, klinik GP telah lama bergantung kepada margin sederhana dari jualan ubat untuk menguruskan kos operasi dan mengekalkan perkhidmatan pada kadar yang mampu.

Jelas beliau, dasar itu mengancam keseimbangan tersebut dan menjadikan lebih sukar bagi klinik untuk terus beroperasi.

"MMA mengambil maklum akan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai ketelusan harga ubat.

"Walaupun kami menyokong matlamat untuk meningkatkan akses pesakit kepada maklumat kos, kami bimbang bahawa dasar ini boleh membawa kesan serius yang tidak diingini kepada GP yang memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan primer di seluruh Malaysia,"ulasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk menangani cabaran praktikal dan kesan negatif dasar berkenaan serta memberi keutamaan kepada pengukuhan penjagaan kesihatan primer.

"Kami juga mendesak kajian semula dan kemas kini jadual fi GP, satu isu yang telah sering dibangkitkan oleh MMA kerana fi perundingan yang tidak berubah selama dua dekad," katanya.

Selain itu, berhubung dengan kelestarian GP sebagai tulang belakang penjagaan kesihatan komuniti, MMA juga mendesak pengawalan segera terhadap Pentadbir Pihak Ketiga (TPA).

Kalwinder memberitahu, ia satu isu yang telah diabaikan sejak tahun 1990-an dan semakin memberi kesan terhadap amalan GP dari masa ke masa.

"Lebih daripada 12,000 klinik GP di seluruh negara adalah amat penting bagi dasar-dasar kerajaan untuk menyokong penyedia penjagaan kesihatan komuniti ini supaya mereka dapat terus berkhidmat sebagai barisan hadapan penjagaan kesihatan kepada jutaan rakyat di seluruh negara,"jelasnya.