Rahsiakan identiti pemberi maklumat, pinda segera Akta 711

Iklan
Rasuah dapat dikawal dengan lebih baik jika ada manusia berjiwa murni berani beritahu kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan rasuah yang diketahuinya. (Foto hiasan) Gambar kecil: Zainal Alimuddin

SHAH ALAM - Identiti pemberi maklumat perlu dirahsiakan walau apa pun yang terjadi berdasarkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Pulau Pinang, Profesor Dr Zainal Alimuddin Zainal Alauddin berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan untuk meminda akta tersebut bagi melindungi kerahsiaan dan keselamatan pemberi maklumat, namun perlu dibuat dengan kadar segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia termasuk memberikan ganjaran kewangan setimpal kepada pemberi maklumat yang mendedahkan salah laku rasuah.

"Rasuah dapat dikawal dengan lebih baik jika ada manusia berjiwa murni berani beritahu kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan rasuah yang diketahuinya.

Iklan

"Ini hanya boleh berlaku sekiranya identiti pemberi maklumat dilindungi dan sebarang maklumat dianggap rahsia.

"Pemberi maklumat wajar mendapat jaminan daripada pihak berkuasa berhubung keselamatan dirinya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa pihaknya telah berjumpa dengan seorang pemberi maklumat pada 30 Oktober lepas.

Ia berhubung kes klip video terkait beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek di sebuah negeri.

Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon perlindungan dari segi keselamatan dan kerahsiaan identiti sebelum membuat laporan SPRM.

Bagaimanapun, Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak akan memberi perlindungan kepada sesiapa yang terbabit rasuah dan menyerahkan perkara tersebut kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, mana-mana individu yang ingin melaporkan salah laku perlu melalui agensi bertanggungjawab sebelum layak mendapatkan perlindungan di bawah akta berkaitan.