Padah sewakan rumah kepada pendatang haram

Iklan

SEREMBAN - Seorang wanita didenda RM56,000 atau penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membenarkan lapan pendatang tanpa izin (Pati) masuk dan tinggal di rumah sewanya, bulan lepas.

Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Zailani Abdul Karim, 46, mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Semarak, Nilai, kira-kira pukul 12.55 tengah hari pada 4 Januari lepas.

Iklan
Iklan

Dia didakwa membenarkan lima wanita warga India iaitu Neela Aruna, 31, Nagma, 25, Shanu Sayyed, 38, Sharada, 36, dan Bibi Shaik, 31, serta tiga wanita warga Indonesia iaitu Santiana, 37, Yuni, 43 dan Rosida Ginting, 42, yang melakukan kesalahan Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, untuk masuk dan tinggal di premis terbabit.

Zailani didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap Pati yang dijumpai di premis.

Iklan

Maimoonah dalam penghakimannya mendenda tertuduh sebanyak RM7,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap Pati atau keseluruhan RM56,000 atau 24 bulan penjara.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum dikenakan terhadapnya atas alasan dia perlu menanggung lapan orang anak yang kini tinggal di Kelantan, selain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Iklan

Bagaimanapun, pegawai pendakwa yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Negeri Sembilan Ngah Muhammad Rameli memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan serius dan sebagai pengajaran kepada orang awam.

Sementara itu di mahkamah yang sama, Maimoonah turut menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan kepada kesemua lapan Pati tersebut kerana telah melanggar Akta Imigresen.

Neela Aruna dan Bibi Shaik didakwa atas kesalahan tinggal lebih masa di bawah Sekyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala Nagma, Shanu Sayyed, Sharada, Santiana, Yuni dan Rosida Ginting didakwa masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai Pas Imigresen yang sah dan didapati bersalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Bernama