KUALA LUMPUR - Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon diberi ruang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media.
Beliau ketika ditemui media memberitahu memerlukan sedikit masa memandangkan keluarga masih bersedih atas pemergian Allahyarham.
"Kami akan keluarkan kenyataan rasmi kemudian, ini adalah masa sukar untuk kami sekeluarga.
"Terima kasih atas sokongan dan doa rakyat Malaysia untuk Allahyarham.
"Kita manusia kerdil di sisi tuhan dan tidak lari dari melakukan kesilapan.
"Mohon terus doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya selepas selesai majlis pengebumian bekas menteri kewangan itu pada Rabu.
Tun Daim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.21 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke kediaman di Bukit Tunku bagi upacara penghormatan terakhir dan disolatkan di Masjid Wilayah seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 pada jam 6.06 petang.