Pelajar Tingkatan Dua cedera jatuh bumbung selepas hisap vape di sekolah

Iklan
Seorang pelajar Tingkatan Dua cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolahnya di sini, dipercayai akibat khayal selepas menghisap vape. Foto Awani/PDRM

KANGAR - Seorang pelajar Tingkatan Dua cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolahnya di sini, dipercayai akibat khayal selepas menghisap vape.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi di bangunan sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan keterangan pelajar itu, dia menghisap vape dalam kelas ketika hujung waktu rehat sesi pembelajaran di sekolah itu dan berasa khayal.

"Dia kemudian turun dari tingkat satu bangunan melalui bumbung, namun akibat rasa khayal maka dia terjatuh ke tanah dan mengalami luka ringan di kakinya,” katanya ketika dihubungi Astro Awani hari ini.

Iklan

Katanya, selepas terjatuh, pelajar berkenaan dilihat menjadi tidak terkawal dengan meracau sehingga memaksa pentadbiran sekolah menghubungi polis.

"Polis membawa pelajar berkenaan ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan selanjutnya di mana dia diuji untuk saringan dadah namun keputusan ujian air kencingnya negatif.

Iklan

"Pelajar itu kemudian dibawa pulang oleh warisnya dan dia kini sudah berada dalam keadaan stabil dan waras,” katanya.

Rose Aza berkata, sehubungan itu pihaknya bersama sekolah berkenaan sedang bekerjasama dengan polis menyiasat perkara berkenaan.

"Di pihak jabatan, kita sudah arahkan sekolah menerusi guru disiplin itu untuk menyiasat serta mencari pembekal vape itu serta melakukan susulan terhadap ujian air kencing pelajar berkenaan sebelum menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

"Kita juga akan membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal serta tindakan yang akan diambil Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) berhubung kes vape ini dan dia juga akan terus dibantu bagi memastikan pulih semula,” katanya. - Awani