TELUK INTAN - Tiada sebarang kebenaran diberikan kepada penganjuran sebuah program mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong di sini yang dijadual pada Sabtu ini jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima permohonan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program berkenaan pada 11 November lalu.
Menurutnya, susulan itu, pihak polis telah menampal satu notis pembaharuan berhubung program tersebut di kawasan Menara Condong Teluk Intan bagi mendapatkan pandangan orang awam di sekitar kawasan perhimpunan yang akan diadakan itu.
"Hasil pemakluman notis berkaitan penganjuran perhimpunan ini, pihak polis telah menerima maklum balas daripada pemunya Dataran Menara Condong Teluk Intan iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
"Pihak MPTI tidak memberi kebenaran kepada penganjur mengadakan perhimpunan tersebut atas alasan dataran tidak sesuai sebagai tempat berhimpun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahmad Adnan berkata, susulan itu pihak penganjur didapati gagal mengemukakan persetujuan pemilik tempat berhimpun iaitu MPTI seperti mana dinyatakan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, disebabkan itu, pihak polis tidak dapat memproses permohonan pihak penganjur untuk tindakan selanjutnya.
Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan yang dirancang diadakan pada 16 November ini oleh pihak penganjur bagi mengelak diambil tindakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau turut memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati undang-undang dan menjaga kententeraman awam demi keselamatan serta keamanan masyarakat di sini.
Menerusi hantaran di Facebook, Himpunan Patriotik Rakyat anjuran Sekretariat Patriotik Rakyat dijadual diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada Sabtu ini bermula jam 5 petang hingga 7 malam.
Poster penganjuran program tersebut turut dikongsikan menerusi akaun facebook Pemuda Pas Kawasan Teluk Intan.