Tun Daim seorang mentor, mahaguru - Tok Pa

Iklan
Mustapa (kanan) hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan bekas Menteri Kewangan keenam, Tun Daim Zainuddin sebagai seorang mentor, mahaguru dan bertanggungjawab membawa beliau menceburi bidang politik.

Mustapa menerusi laman Facebook turut mengucapkan terima kasih di atas segala jasa Allahyarham terhadap diri beliau.

Iklan
Iklan

"Jam 8.30 pagi tadi Allahyarham Tun Daim kembali ke rahmatullah. Allahyarham adalah mentor, mahaguru saya yang membawa saya keluar dari perkhidmatan awam memasuki politik.

"Terima kasih atas tunjuk ajar, nasihat dan bimbingan," katanya.

Iklan

Beliau turut mendoakan Allahyarham supaya dihimpunkan bersama insan beriman.

"Semoga ALLAH ampuni segala dosa Allahyarham, rohnya diberkati, dirahmati dan dihimpunkan bersama insan beriman.

Iklan

"Ramai tokoh negara menziarahi keluarga Allahyarham antaranya bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam, Tun Mohd Khalil Yaakob; bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Alfatihah," katanya.


Tun Daim banyak bakti kepada negara - Fahmi

KUALA LUMPUR - Allahyarham Tun Daim Zainuddin banyak berbakti kepada negara terutamanya ketika krisis kewangan pada dekad 1980-an, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli.

Beliau berkata, sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Allahyarham berjaya membantu meletakkan semula Malaysia pada landasan yang baik.

"Waktu itu saya masih kecil dan tidak mengenali politik, memang kita tidak boleh nafikan pada 80-an dan waktu krisis kewangan Asia, Allahyarham sebagai Menteri Kewangan membantu kerajaan dan tugas-tugas yang beliau laksanakan membantu mengembalikan Malaysia pada landasan yang baik,” katanya selepas solat jenazah Allahyarham di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Daim memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan kali kedua pada 1999-2001.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau terhutang budi dengan Allahyarham Daim yang pernah datang memberikan sokongan kepadanya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara.

"Kehilangan Allahyarham bukan sahaja kehilangan kepada keluarga dan sahabat handai tetapi kepada negara. Kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Terdahulu, kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Wilayah Persekutuan pada jam 3.43 petang dan jenazah disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 pada jam 4.48 petang untuk pengebumian.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Allahyarham Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, meninggal dunia pada jam 8.21 pagi ini Hospital Assunta, Petaling Jaya, ketika menerima rawatan di hospital berkenaan. - Bernama