Jakim kaji penyelarasan waktu bekerja guru KAFA Perdana

Iklan
Zulkifli menyampaikan ucapan pada Sesi Penggulungan Peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2025, Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji pelaksanaan Program Rintis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Perdana melibatkan penyelarasan dan perubahan waktu bekerja guru daripada tiga kepada lima hari seminggu dan tiga jam kepada sembilan jam sehari.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Jakim telah selesai mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkepentingan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, Program Rintis KAFA Perdana akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, pelaksanaan program itu dicadangkan dibuat secara berfasa, bermula di premis sekolah agama rakyat selama setahun dan diikuti negeri lain serta bergantung pada kelulusan pihak berkaitan.

Iklan

Selaras dengan kenaikan kadar gaji minimum yang berkuat kuasa tahun depan, beliau berkata Jakim juga dalam usaha mencadangkan supaya bayaran elaun guru KAFA sedia ada dibayar pada kadar bersesuaian tertakluk kepada keadaan semasa kewangan negara.

Berhubung cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), Zulkifli berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam bakal meneliti cadangan pindaan dan laporan hasil kajian akan diambil kira dalam penggubalan pindaan akta itu.

Iklan

Beliau berkata, cadangan pindaan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. - Bernama