CAMERON HIGHLANDS - Sebuah kedai emas dirempuh lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 60 di Pekan Tanah Rata di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, siasatan awal mendapati lori membawa muatan sayur yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Brinchang menghala Ringlet telah melanggar belakang lori muatan coklat yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri.
Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut lori muatan coklat itu telah menggelongsor ke hadapan melanggar MPV tersebut yang diletakkan di bahu jalan.
"Lori muatan coklat itu bergerak ke laluan bertentangan dan melanggar kedai emas tersebut.
"Semasa kejadian, kedua-dua pemandu iaitu lori muatan coklat dan MPV terbabit tidak berada dalam kenderaan," katanya.
Ujarnya, akibat kemalangan itu, ketiga-tiga kenderaan rosak dan tiada kecederaan dihadapi oleh pemandu dan orang awam yang berada di premis kedai emas terbabit.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian lori muatan sayur melanggar lori muatan coklat terbabit yang diletakkan di tepi jalan sebelah kiri.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.
Jelas Azri, sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.