Maklumat tanpa saluran perundangan dianggap tidak laku, fitnah - MEH

Iklan
Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Sebarang maklumat yang disalurkan tanpa melalui kerangka perundangan boleh dianggap tidak laku malah sebagai suatu fitnah.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH) dan Ketua Penerangan Rasuah Busters Selangor Wilayah Persekutuan, Dr Helmi Ibrahim berkata, ini kerana tindakan sebegitu bersifat 'baling batu sembunyi tangan'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kalangan yang memberikan maklumat tanpa melalui saluran mengikuti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tidak layak diberikan perlindungan kerana mereka tidak memenuhi syarat sebagai 'wistleblower'.

"Akta ini menerangkan dengan jelas bahawa pemberi maklumat harus memberikan maklumat dengan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan

"Ini bermakna apa juga maklumat yang diberikan di luar kerangka akta ini maka ia adalah 'null and void' dari segi perundangan termasuklah surat kepada Perdana Menteri meskipun dibuat dalam kalangan yang berjawatan penting dalam kerajaan seperti wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan memberi jaminan perlindungan kepada individu mendakwa menjadi pemberi maklumat tetapi turut terbabit dalam rasuah.

Iklan

Anwar menegaskan beliau tidak akan berunding dengan mana-mana pemberi maklumat kes rasuah mahu mendapatkan perlindungan, sebaliknya menyerahkan kepada SPRM.

Jelasnya, siasatan itu termasuk membabit kes dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah membincangkan rasuah melibatkan lesen projek.

Dalam pada itu, Helmi berpendapat, kes itu timbul ekoran kontrak yang dijanjikan tidak diperolehi.

"Maka janji tidak ditepati, lantas pihak yang memberi suapan telah membuat aduan kepada Perdana Menteri berserta dengan rakaman audio.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri telah menampilkan satu teladan yang baik dengan tidak melayan surat sedemikian meskipun boleh menjejaskan kepentingan politik Kerajaan Madani di Sabah.

"Pendirian 'no nonsense' yang ditampilkan oleh Perdana Menteri selari dengan falsafah Kerajaan Madani yang menolak rasuah dan salah guna kuasa menjadi resipi utama dalam mengundang selera rakyat mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang lalu,"ujarnya.

Beliau turut memberitahu, Rasuah Busters memberikan tabik hormat kepada Perdana Menteri yang menampilkan kepimpinan penuh berintegriti dalam perangi rasuah tanpa mengira kawan ataupun lawan.