Pemandu tular langgar lari sudah ditahan polis

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan kejadian sebuah kereta melanggar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

PARIT BUNTAR - Pemandu kereta berwarna putih yang tular kerana melarikan diri selepas melanggar dua lelaki menunggang motosikal di Kuala Kurau di sini telah ditahan polis.

Lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Selasa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa berusia 37 tahun bersama rakannya berusia 40 tahun telah cuba menahan suspek kerana kenderaan itu dipercayai terlibat kemalangan dengan individu lain.

Bagaimanapun menurutnya, semasa berada di jalan bawah Kuala Kurau, kereta itu bertindak menghimpit motosikal dinaiki mangsa dan terus melarikan diri.

Iklan

"Susulan daripada laporan dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah berjaya mengesan keberadaan suspek di sekitar Kuala Kurau dan terus membuat tangkapan.

"Turut dirampas sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis yang digunakan dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, kejadian itu dikesan tular selepas dua video dimuat naik di aplikasi X sekitar jam 11.30 pagi pada Rabu.

Katanya, rakaman video berdurasi 18 saat dan 1 minit 35 saat itu memaparkan kejadian sebuah kereta melanggar sebuah motosikal dinaiki dua individu tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan.