NEW DELHI - India mengimport 359,000 tan minyak sawit dari Malaysia bulan lepas dengan pembelian minyak sawit Malaysia untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Oktober berjumlah lebih 3.2 juta tan.
Import minyak sayuran India dari Malaysia pada Oktober terdiri daripada 318,015 tan minyak sawit mentah (MSM), 29,496 tan minyak sawit ditapis dan 11,497 tan minyak isirung sawit mentah (CPKO), menurut angka yang dikeluarkan oleh kumpulan industri Solvent Extractors' Association of India (SEA).
Iklan
Iklan
Import keseluruhan minyak sayuran India dalam tempoh 12 bulan dari November hingga Oktober turun tiga peratus kepada 15.96 juta tan metrik disebabkan peningkatan pengeluaran minyak bijirin domestik dan harga minyak makan yang lebih tinggi.
Pada September tahun ini, kerajaan India menaikkan cukai import ke atas minyak makan sebanyak 22 peratus untuk menyokong sektor pertanian tempatan.
Berdasarkan kepada anggaran industri, permintaan tahunan untuk minyak makan di India adalah kira-kira 25-26 juta tan dan meningkat tiga peratus hingga empat peratus setiap tahun. - Bernama