[DIKEMAS KINI] PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 pada Rabu.
Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna itu, ingatan figura berusia 45 tahun tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan beliau seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
"Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana... Walau kering tak bercahaya bunga melur... Baumu memikat jiwa...”
"Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Malah anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu melihat anugerah tersebut bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seninya, tetapi merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.
"Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
"Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini.
"Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakan media dan peminat.
Menerusi kenyataan sama, pelatun Percayalah itu juga berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga dan dihargai.
"Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.
"Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” luahnya.
Terdahulu, pengurus Siti Nurhaliza, Rozi berkongsi gambar gembiran bahawa penyanyi tersebut telah menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
Beliau menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Rabu.