LOUIS Saha mencadangkan agar Ruben Amorim merekrut Roy Keane sebagai sebahagian daripada staf kejurulatihannya di Manchester United.
Amorim berada di pusat latihan kelab di Carrington pada Isnin dan akan memulakan tugas sebaik sahaja isu berkaitan permit kerjanya di Britain diselesaikan.
Pengendali berusia 39 tahun itu mengesahkan bahawa dia tidak akan bekerjasama dengan Ruud van Nistelrooy yang dilantik sebagai pengurus interim selepas United memecat Erik ten Hag.
Difahamkan, Amorim bercadang membawa masuk beberapa individu yang rapatnya dengan semasa di Sporting Lisbon ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Nama-nama seperti Carlos Fernandes, Adelio Candido, Paulo Barreira, Emanuel Ferro dan Jorge Vital berkemungkinan besar diumumkan sebagai staf kejurulatihan Amorim.
Namun, Saha yang meraih dua gelaran EPL dan satu trofi Liga Juara-Juara bersama United berpendapat Amorim memerlukan bantuan daripada bekas pemain yang benar-benar memahami struktur serta kemahuan kelab dan individu tersebut ialah Roy Keane.
"Jika Keane bergabung dengan staf kejurulatihan United sudah tentu ia memberikan impak besar kerana pengaruhnya yang signifikan di dalam dan luar padang.
"Amorim tidak rugi apa-apa kerana Keane adalah seorang individu yang kompetitif,” ujar Saha.
Perlawanan pertama Amorim adalah menentang Ipswich Town di Portman Road pada 24 November, bermakna kelab tidak mempunyai banyak masa untuk melaksanakan ideanya dan formasi jangkaan 3-4-3.
Sebagai rekod, Amorim mengakhiri tugas di Sporting dengan bergaya pada Ahad lalu, melihat kelabnya bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Braga 4-2.
Mereka juga mengejutkan Manchester City 4-1 dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.