CADANGAN tahanan rumah menjadi perdebatan awam apabila hukuman itu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Meskipun mahkamah memutuskan bahawa Titah Adendum hanyalah khabar angin, isu berkaitan Akta Tahanan Rumah terus dipolitikkan.
Ramai juga yang tidak faham cuba memberikan pandangan hingga menambahkan kekeliruan.
Sebenarnya, reformasi penjara bukanlah perkara baharu di negara kita. Jabatan Penjara Malaysia sendiri sudah berusia lebih 230 tahun.
Pelbagai langkah proaktif diambil Jabatan Penjara dalam membantu memulih dan memberi peluang kedua kepada penghuni jeriji besi.
Pun begitu, peredaran masa memerlukan perubahan dan penambahbaikan yang lebih komprehensif dilakukan dalam mengurus sistem penjara.
Isu kesesakan penjara dan kos operasi melambung antaranya menjadi beban yang kian mendesak.
Bayangkan fasiliti penjara yang boleh menampung 74,146 orang, mengalami kadar pertambahan prospek dengan kapasiti keseluruhan kini 87,419 banduan. Kadar pertambahan melebihi 11.24 peratus.
Malah daripada 43 institusi penjara di seluruh negara, 19 penjara mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutama di kawasan bandar besar.
Sehubungan itu, antara teras reformasi penjara ialah cadangan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif, bagi membolehkan pesalah jenayah kecil menjalani hukuman di luar tembok besi dengan pemantauan ketat.
Jabatan Penjara Malaysia sendiri telah melakukan kajian malah projek rintis sudah pun dimulakan sejak tahun lalu melibatkan 5,000 banduan yang menunjukkan kadar recidivism (kembali melakukan kesalahan) turun kira-kira 15 peratus.
Walaupun malang sekali, perubahan dan penambahbaikan dalam sistem kepenjaraan kita dikaburi dengan perspektif politik tanpa memahami isu sebenar dan menilai manfaat jangka panjang.
Masyarakat seharusnya tahu majoriti banduan yang mendiami penjara kita sebenarnya terlibat dalam jenayah kecil atau bukan jenayah kekerasan. Contoh paling mudah, kes curi Milo!
Tanpa reformasi penjara, mereka ini akan terus menghuni tirai besi sedangkan ada solusi lebih praktikal untuk 'mengajar' mereka.
Sebelum hentam, fahamilah manfaat tahanan rumah ini dahulu. Jangan biarkan politik menutup peluang kebaikan jangka panjang kepada negara kita.