GOMBAK - Beg wanita di bawah jenama Neisa' Artisan merupakan hasil tangan komuniti asnaf sekitar Gombak yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.
Ketuanya, Martinelli Hashim berkata, projek tersebut bagi membantu golongan asnaf menjana pendapatan seterusnya membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.
Menurutnya, inisiatif itu dicetuskan ketika penularan Covid-19 lalu apabila pusat Akar Budi menjalankan projek 'food bank' membantu 300 keluarga asnaf.
"Selepas fasa Covid-19, pusat tersebut dijadikan tempat penjanaan ekonomi komuniti yang mulanya dengan program jahitan baju sebelum dikembangkan kepada jahitan beg," kongsinya kepada Sinar Harian.
Katanya, produk jahitan beg itu kemudian dipasarkan dalam komuniti setempat sebelum dikembangkan ke seluruh negara melalui medium jualan dalam talian.
"Harga beg dijual serendah RM10 sehingga RM150, menawarkan lebih sepuluh pilihan berkonsep batik dan songket selain fabrik lain mengikut citarasa pelanggan.
"Ada antara pelanggan membeli secara pukal untuk dijadikan cenderahati. Kami pernah terima tempahan sehingga 200 unit," katanya.
Katanya, tempahan tersebut disiapkan bersama 20 asnaf yang diberikan latihan dan boleh pendapatan antara RM200 hingga RM1,700 bergantung kepada permintaan.
"Biasanya tempahan libatkan kuantiti banyak perlu dibuat tiga minggu awal tapi ada juga secara 'ad-hoc' contohnya tempahan 20 beg yang mampu disiapkan dalam masa dua hari.
"Dengan adanya program pemerkasaan ekonomi ini secara tidak langsung kita bantu komuniti atasi masalah kewangan, terhindar isu sosial, jenayah dan lain-lain," katanya.
Ujarnya, projek tersebut terbuka kepada komuniti asnaf yang berminat untuk berdaftar menjadi ahli sabahat Akar Budi.
Pesara itu berkata, projek pemerkasaan komuniti itu adalah hasil gabungan Universiti Islam Antarabangsa Gombak (UIAM) bersama alumni selain badan bukan kerajaan serta ahli korporat.
Dia bercadang untuk memperluaskan projek itu ke komuniti lain agar lebih ramai asnaf dapat dibantu.
Pada masa sama katanya, dia meletakkan taget jualan sekurang-kurangnya 60 beg atau RM3,000 sebulan untuk memperkukuh jenama dalam pasaran yang secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan asnaf terlibat.