SHAH ALAM - Siapa sangka radiosonde yang dipasang pada belon kaji cuaca yang lazim akan jatuh selepas belon dinaikkan dalam tempoh tertentu menjadi buruan pengumpulnya.
Pemburu radiosonade, Zaki Din, 45, mengakui kumpulannya sudah berjaya mengumpul 678 radiosonde daripada 3,681 pelepasan belon kaji cuaca di seluruh negara sejak tiga tahun yang lalu.
Menurutnya, di Malaysia belon kaji cuaca dilepaskan di Pontian, Bayan Lepas, Sepang, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Bintulu, Kota Kinabalu dan Tawau.
Aktiviti Zaki mengesan radiosonde mula menjadi perhatian selepas disiarkan di akaun TikToknya.
Hobi luar biasa guru Bahasa Melayu itu mendapat sambutan apabila akaun TikTok Zaki Din/Pemburu Radiosonde kini mempunyai pengikut mencecah 21,800 orang.
Zaki berkata, minatnya untuk mencari radiosonde bermula selepas diperkenalkan oleh seorang rakan radio amaturnya yang dikenali sebagai Pak Hamid.
"Beliau telah menunjukkan saya link github untuk hasilkan alat pengesan belon kaji cuaca secara automatik sebelum seorang rakan dari Australia telah berjaya menghasilkan satu aplikasi mengesan belon kaji cuaca secara automatik pada 2019,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, dengan menggunakan peralatan khas yang dipanggil gobox, lokasi tepat peralatan berkenaan jatuh dapat dikesan.
"Lokasi jatuh radiosonde tidak dapat dijangka dan misi saya adalah untuk mencari lokasi ia jatuh.
"Belon kaji cuaca Malaysia iaitu model WXr-301D adalah jenis analog dan bateri dia tahan lama iaitu sekitar 16 ke 18 jam selepas dilepaskan,” katanya yang tinggal di Kulai, Johor.
Mengulas lanjut mengenai cabaran untuk mencari radiosonde, beliau mengakui terpaksa berhadapan dengan risiko terutama binatang buas sekiranya alat itu jatuh di dalam hutan.
"Misi Gunung Pulai ketika pencarian, kumpulan kami jumpa kesan cakaran di pokok dipercayai binatang buas menyebabkan misi itu terpaksa dibatalkan,” katanya.
Tambah Zaki, beliau juga memburu radiosonde Singapura yang kebanyakan jatuh di lokasi tertentu di Johor.