Pemohon zakat tidak telus boleh didakwa mengikut akta SPRM

Iklan
Pemohon bantuan zakat yang memberikan maklumat atau butiran palsu dengan niat memperdayakan bagi mendapat bantuan zakat boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah akta SPRM. (Gambar kecil: Ahmad Azrin)

KUALA TERENGGANU - Pemohon bantuan zakat yang memberikan maklumat atau butiran palsu dengan niat memperdayakan bagi mendapat bantuan zakat boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, penguatkuasaan perkara di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025 bagi memastikan hanya penerima yang benar-benar layak menerima agihan bantuan wang zakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat beberapa permohonan bantuan zakat yang tidak memberikan maklumat yang benar tentang permohonan seperti jumlah simpanan, jumlah pendapatan dan sebagainya.

"MAIDAM akan menyiasat secara lebih teliti di mana pemohon perlu menandatangani borang perakuan berkenaan tindakan yang boleh diambil sekiranya maklumat yang diberikan tidak betul," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Iklan

Menurut Ahmad Azrin, sebelum ini pihaknya akan menghentikan serta-merta bantuan kepada penerima jika terbukti terdapat penipuan maklumat.

Katanya, tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya ada dalam kalangan pemohon yang tidak telus ketika mengisi borang permohonan bantuan wang zakat.

Iklan

"Berdasarkan akta ini, mereka yang mengguna sebarang dokumen yang mengandungi maklumat atau butiran palsu dan silap dengan niat memperdayakan bagi kepentingan dan keuntungan peribadi boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau nilai pemalsuan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

"Selain itu, sekiranya didapati menipu atau menggunakan apa-apa dokumen dengan niat menipu boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda (Seksyen 420) tidak melebihi tujuh tahun dan denda,"katanya.

Jelasnya, setakat Ogos lalu, terdapat seramai 1,554 asnaf fakir dan 21,366 orang asnaf miskin direkodkan di seluruh Terengganu.

Katanya, jumlah penerima asnaf kategori fakir menunjukkan penurunan daripada 2,000 orang kepada 1,500.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak RM201 juta kutipan zakat berjaya dikumpul setakat tahun ini dengan jumlah agihan RM271 juta.

"Bermula 2016, jumlah agihan zakat di Terengganu melebihi jumlah kutipan, namun hanya pada tahun 2020 dan 2021 jumlah kutipan melebihi agihan disebabkan Covid-19.

"Rekod kutipan dan agihan zakat di Terengganu kembali menunjukkan peningkatan selepas tahun 2021 di mana pada tahun 2022 sebanyak RM228 juta kutipan zakat berjaya dikumpul dan agihan sebanyak RM233 juta.

"Bagi tahun 2023 pula jumlah kutipan RM255 juta manakala agihan sebanyk RM257 juta," ujarnya.

Beliau berkata, tahun ini MAIDAM menyasarkan kutipan sebanyak RM285 juta dengan jangkaan agihan mencecah RM300 juta.

"Setakat bulan ini kita berjaya kumpul RM201 juta wang zakat dan dijangka akan ada pertambahan RM70 juta sebelum hujung tahun ini.

"Maklumat berkaitan kutipan dan agihan zakat itu boleh diakses secara real-time (masa nyata) melalui aplikasi Sahabat MAIDAM yang boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja," katanya.