MALAYSIA perlu menyediakan lebih ramai atlet yang berpotensi serta berkualiti untuk menyinar pada setiap temasya terutama Sukan Olimpik bagi memecah kebuntuan pingat emas pertama buat negara.
Malah penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop juga berharap selain atlet yang lebih ramai, jenis sukan yang layak ke temasya terbesar dunia itu juga perlu lebih banyak berbanding penyertaan terdahulu.
Beliau berkata, perancangan rapi dan sistematik dengan kolaborasi pelbagai pihak perlu dilaksanakan segera menjelang dua kitaran Olimpik meliputi Los Angeles 2028 (LA28) dan Brisbane 2032.
"Keutamaan pertama ialah memastikan lebih ramai atlet layak ke Olimpik. Bukan 'wildcard' tetapi secara merit. Begitu juga dengan jenis sukan, bukan semata-mata badminton dan berbasikal, tetapi perkasakan sukan lain.
"Skuasy, renang, terjun, angkat berat, memanah dan menembak. Sukan baharu memanjat dinding dan papan selaju selain olahraga serta sukan-sukan lain lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan sesi bedah siasat berhubung prestasi atlet negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sesi itu akan diadakan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), jurulatih pasukan, sekretariat kontinjen dan Institut Sukan Negara (ISN).
Sesi tersebut juga akan turut melibatkan National Sports Science University (NSSU), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, wakil universiti tempatan dan persatuan media.
Zainal menjelaskan bahawa pendedahan di peringkat antarabangsa amat penting buat atlet dengan memastikan mereka berkampung di luar negara untuk menyertai kejohanan yang kompetitif.
Beliau berkata, menerusi pendekatan tersebut mampu membentuk atlet yang matang, berpengalaman dan kental untuk berdepan dengan sebarang cabaran semasa kejohanan berlangsung.
"Hantar kesemua atlet daripada semua jenis sukan yang berpotensi untuk berguru di luar negara. Jangan terlalu manja, tetapi perlu berdaya saing, mentaliti menang serta kuat fizikal dan mental, ” ujarnya.
Beliau menambah, selain atlet sedia ada, Sukan SEA Thailand 2025 menjadi platform terbaik untuk mengenal pasti wajah baharu yang segar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Olimpik.
"Mana-mana yang ada potensi pada Sukan SEA perlu diberi peluang dan digilap untuk terus meningkat menjadi atlet berkualiti bertaraf dunia,” katanya.