KUALA LUMPUR - Peluasan sebanyak 119 kelas prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan Laporan Tahunan 2023 bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, inisiatif tersebut adalah sebagai usaha KPM dalam memberi akses dan meningkatkan enrolmen murid prasekolah di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, peluasan kelas prasekolah itu dilaksanakan berdasarkan keperluan masyarakat setempat selain bergantung kepada kapasiti institusi pendidikan serta peruntukan sedia ada KPM.
"Secara keseluruhan, enrolmen murid prasekolah untuk kanakkanak berumur lima tahun telah menunjukkan trend peningkatan daripada 83.65 peratus pada 2021 kepada 90.67 peratus pada 2023," katanya menerusi temu bual khas di pejabatnya pada Isnin.
Ujar beliau, peratusan enrolmen murid bagi kohort umur empat tahun turut mencatatkan peningkatan daripada 68.45 kepada 77.95 peratus bagi tempoh sama.
"KPM sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan enrolmen murid daripada prasekolah sehingga menengah atas," jelas Azman.
Menurutnya, KPM turut melaksanakan peluasan prasekolah yang berada di lain-lain institusi pendidikan kementerian itu selain sekolah rendah.
"Ia merangkumi lima kelas prasekolah di sekolah menengah, enam beroperasi di kolej vokasional manakala 25 lagi di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)," katanya.
Bagi meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah, kementerian melaksanakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam, agensi awam dan swasta melibatkan latihan guru serta pembantu pengurusan murid secara berkala.
Tambah Azman, Penarafan Kendiri Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (PK-SKPK) 2.0 dilaksanakan secara dalam talian kepada semua institusi yang menawarkan pendidikan tersebut.
"Sebanyak lima kualiti yang terkandung dalam PK-SKPK 2.0 itu antaranya adalah dimensi kualiti guru dan pembantu guru serta pembantu pengurusan murid (PPM), kualiti tadbir urus, kurikulum, penglibatan dan kesihatan," katanya.
Menyentuh mengenai kelayakan akademik minimum guru prasekolah KPM yang memiliki diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK), beliau berkata, KPM telah mencapai 100 peratus pada tahun lalu.
"Kesemua 9,817 guru prasekolah KPM memiliki kelayakan akademik minimum DPAKK," ujar beliau.