Lelaki tempatan, wanita Vietnam didakwa edar dadah MDMA

Iklan
Lee Cia Ceh (kanan) dan Thi Kim Van didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah MDMA pada 3 November lalu. Foto Bernama

KLUANG - Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah 'methylenedioxymethamphetamine' (MDMA) pada 3 November lepas.

Lee Cia Ceh, 32, menjawab faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno manakala tiada jawapan direkodkan daripada warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Van, 28, kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu terhadapnya.

Iklan
Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Lee dan Nguyen bagi mencapai niat bersama telah mengedar dadah berbahaya disyaki jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 1,473.8 gram di sebuah rumah di Taman Tasik Indah, Kluang pada 6.45 petang, 3 November lepas.

Iklan

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin.

Iklan

Mahkamah menetapkan 26 November ini untuk pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam manakala 9 Jan tahun hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan laporan kimia. - Bernama