KPDN Selangor gempur premis jual pes udang guna jenama tiruan

Iklan
Pes udang dipercayai menggunakan cap dagang palsu diperiksa pasukan operasi KPDN Selangor semasa serbuan dilakukan di Taman Perindustrian Pandamaran, Klang, Selangor pada Rabu. Foto KPDN

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, di sini kerana menggunakan cap dagang palsu pada Rabu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pihaknya bersama wakil pemilik cap dagang terlibat telah menyerbu premis tersebut sekitar jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, operasi di bawah Perlindungan Harta Intelek itu dibuat berdasarkan aduan terdapat aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.

Kata beliau, makluman awal pengadu mengesyaki terdapat barangan mentah sejuk beku jenis pes udang menggunakan cap dagang palsu.

Iklan

"Susulan maklumat diterima, KPDN Selangor dengan kekuatan anggota sejumlah lapan orang bersama dua wakil pemilik cap dagang yang diadu telah menjalankan serbuan ke atas premis yang disasarkan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemukan barangan mentah sejuk beku jenis 'shrimp paste' yang disyaki tiruan dalam milikan premis untuk tujuan perdagangan.

Iklan

"Pengesahan awal ke atas barangan yang disyaki tiruan telah dibuat oleh wakil pemilik cap dagang dan tindakan sitaan telah dilakukan ke atas sejumlah 7,860 unit barangan dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM50,000," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Khairi berkata, pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas premis tersebut dan menemukan seorang individu lelaki warga tempatan yang dipercayai bertugas sebagai pekerja stor premis.

Katanya, lelaki berusia 27 tahun itu memberi kerjasama semasa pasukan serbuan membuat pemeriksaan.

Menurutnya lagi, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik premis tersebut.

"Potensi kesalahan adalah melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (ACD 2019).

"Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) ACD 2019 dan boleh dihukum bawah Seksyen 102(1)(i) Akta yang sama," ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN.

Jelasnya, perlindungan harta intelek merupakan antara satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dilindungi.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti manipulasi perlindungan harta intelek termasuk aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian.

"Aduan boleh dibuat menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline KPDN 1-800-886-800 atau portal e-aduan.kpdn," ujarnya.