MELAKA - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia sembilan tahun.
Tertuduh berusia 46 tahun membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Kesemua tindakan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik rumah di Jasin antara jam 6.30 petang hingga 7 malam pada 19 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Rayam, Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM20,000 dengan dua penjamin jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara selain dikenakan syarat tambahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 November depan bagi pendengaran fakta kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh.