Malaysia jadi transit RM4 juta rokok seludup untuk Sri Lanka

Iklan
Wan Jamal Abdul Salam (kiri) menunjukkan kotak-kotak mengandungi rokok-rokok yang dibawa keluar dari kontena. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

KOTA BHARU - Sindiket antarabangsa dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludupan enam juta batang rokok bernilai lebih RM4 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, minggu lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung perkara itu menjalankan risikan dan serbuan pada jam 3.30 petang, 4 November lalu serta menemukan kotak-kotak berisi rokok berkenaan dalam sebuah kontena di pelabuhan terbabit.

Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan rokok-rokok yang dirampas. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

"Kami percaya rokok-rokok ini sudah tiba seminggu lalu selain ada penglibatan sindiket antarabangsa.

Iklan

"Rokok-rokok jenama ini tidak digunakan di Malaysia sebaliknya disyaki diseludup dari Kemboja melalui jalan air di Laut China Selatan dan ditransit di negara ini sebelum dihantar ke Sri Lanka,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JKDM Kelantan di Padang Bongor di sini pada Khamis.

Beliau mengulas, operasi dijalankan pihak JKDM Kelantan itu mendapat kerjasama daripada Unit Kawalan Kontena JKDM, Zon Tengah Unit II, Selangor.

Rokok-rokok yang dipercayai untuk pasaran Sri Lanka. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Iklan

Katanya, sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan modus operandi mengikrar dagangan dalam bil muatan dengan maklumat pelabuhan pelepasan di Pelabuhan Klang serta menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo.

"Tiada tangkapan suspek dilakukan dalam serbuan ini.

"Siasatan bagaimanapun diteruskan bagi menyiasat sama ada orang tempatan terlibat sama menyeludup rokok dengan cukai bernilai RM4 juta ini,” ujar beliau.

Kontena yang diletakkan rokok seludup dirampas dari Pelabuhan Klang, Selangor. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, rokok-rokok tidak mempunyai sebarang dokumen pengimportan untuk membuktikan bahawa cukai atau duti dibayar.

"Rokok adalah barang larangan dan pengimportan tertakluk kepada permit import di bawah Item 1, Jadual Ketiga, Bahagian Il Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.