Ops Khas Motosikal rekod 37,000 saman dalam tempoh 13 hari

Iklan
Aedy Fadly (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada peserta Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Baru 13 hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 37,708 saman atas pelbagai kesalahan kepada penunggang motosikal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah memeriksa sebanyak 136,067 motosikal sepanjang tempoh operasi tersebut.

Iklan
Iklan

"Dalam tempoh 13 hari sahaja JPJ telah membuat pemeriksaan sebanyak 136,067 motosikal dan tindakan notis saman dikeluarkan sebanyak 37,708 notis kepada pesalah-pesalah motosikal di seluruh negara atas pelbagai kesalahan.

"JPJ juga telah menyita 1,014 motosikal atas pelbagai kesalahan.

Iklan

"Antara kesalahan paling tinggi dikesan adalah tiada insurans dan cukai jalan selain pengubahsuaian sangat ekstrem oleh pemilik motosikal maka kita menyita motosikal tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini pada Khamis.

Aedy Fadly (tengah) semasa Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu

Iklan

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, operasi berkenaan akan diteruskan selama dua bulan sehingga Disember depan.

"Ops ini akan diadakan secara berterusan untuk tempoh dua bulan ini seluruh negara.

"Penguatkuasaan secara berterusan ini adalah penting untuk mendidik dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Jadi kita ingin ingatkan kepada semua pengguna di jalan raya supaya mematuhi semua peraturan ditetapkan kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang menyalahi undang-undang," jelasnya.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, Program MyLesen merupakan komitmen dan usaha berterusan Kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan.

"Pemilikan Lesen Memandu Kelas B2 ini akan memberi manfaat kepada masyarakat di Terengganu bagi memudahkan pergerakan menguruskan aktiviti-aktiviti ekonomi setempat seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah," ujarnya.