SHAH ALAM – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Encorp Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1.05 juta berhubung pelombongan silika tahun lalu.
Tertuduh, Hazurin Harun, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang diamanahkan harta iaitu akaun bank milik syarikat itu, telah melakukan pecah amanah jenayah, dengan membuat pembayaran wang itu kepada LMC Mining Sdn Bhd melalui satu cek.
Perkara itu bagi penghantaran 20,000 tan metrik mineral kaolin dari sebuah tapak di Mukim Hulu Kinta, Perak ke Nantong, China sedangkan harta tersebut ialah bagi pembayaran penghantaran silika kuarza.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Dataran Sunway di sini pada 21 Jun dan 15 September 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi semua pertuduhan.
"Termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya yang tidak dibantah pembelaan tertuduh, diwakili peguam, Aizul Rohan Anuar.
Mohd Nasir kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Januari tahun depan.
Sebelum ini, Encorp menggantung tugas Hazurin bagi siasatan dalaman berkaitan dakwaan yang dibuat SPRM.
SPRM juga mengesahkan penahanan tiga individu termasuk seorang CEO kerana disyaki penyelewengan RM1.5 juta dana milik syarikat tersenarai awam.
Mereka disiasat berhubung kes penyelewengan dalam projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta.
Penemuan awal mendakwa penglibatan mereka dalam menubuhkan sebuah syarikat tanpa kebenaran untuk projek RM258 juta dan menggelapkan RM3 juta dalam dana sewa hartanah.