JEMPOL- Seramai 213 peneroka FELCRA Bayai, Mukim Serting Ulu di sini menerima geran hak milik masing-masing selepas 40 tahun mengusahakan tanah tersebut.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 89 hak milik lagi membabitkan peserta asal yang telah meninggal dunia akan diselesaikan secara berperingkat setelah urusan berkaitan perintah pusaka kecil selesai.
Menurutnya, kerajaan negeri sedar dan prihatin bahawa pemilikan tanah adalah satu perkara penting kerana tanah yang diusahakan tanpa hak milik, bermakna tiada jaminan ia dapat diturun milik kepada pasangan atau anak-anak suatu masa nanti.
"Oleh itu, saya ingin berpesan agar tanah yang telah diusahakan sejak sekian lama hasil penat lelah dari muda hingga kini tidak dijual dengan begitu mudah dan perlu dikekalkan menjadi hakmilik keluarga.
"Jangan terpengaruh dengan khabar-khabar indah yang ditawarkan 'scammer', datang memujuk untuk melabur atau membeli tanah ini dengan pelbagai alasan," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan pada Khamis.
Untuk rekod, kerajaan negeri telah memberikan kelulusan membuka dan memajukan kawasan FELCRA Bayai pada tahun 1984 untuk tanaman jangka masa panjang kelapa sawit.
Bagaimanapun, atas sebab beberapa isu teknikal tanah yang perlu diselesaikan, proses pemberi milikan tanah kepada peneroka telah mengambil masa yang agak lama.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan semua pihak untuk bersiap sedia dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang sedang berlangsung pada masa ini.
"Sama-sama kita doakan agar tiada kejadian banjir besar pada tahun ini.
"Saya berharap semua pihak sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan arahan dari semasa ke semasa daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah," katanya.