BATU PAHAT - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang lori kontena di kilometer (KM) 79.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada awal pagi Khamis.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Nur Zufayri Mohd Azaha, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 1.59 pagi.
Beliau berkata, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan 13 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Renggam dan Ayer Hitam dihantar ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati sebuah lori jenis Nissan UD 10 tan telah melanggar belakang sebuah lori kontena Hino 40 tan.
"Akibat perlanggaran tersebut, pemandu lori jenis Nissan, seorang lelaki berusia 28 tahun didapati tersepit di tempat duduk pemandu kenderaannya.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori kontena berkenaan, seorang lelaki berusia 53 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Operasi ditamatkan pada jam 3.28 pagi," katanya.