DHAKA - Sekurang-kurangnya 15 pelarian Rohingya mati lemas dan lebih 50 lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka tenggelam di selatan Bangladesh awal pagi tadi.
Jurucakap pengawal pantai, Hamidul Islam berkata, kira-kira 138 pelarian Rohingya kebanyakannya wanita dan kanak-kanak menaiki bot sarat membawa penumpang itu ketika cuba merentasi Teluk Bengal untuk ke Malaysia.
"Kira-kira 70 mangsa berjaya diselamatkan. Mereka dipercayai terpedaya dengan janji manis sindiket pemerdagangan manusia," ujarnya.
Difahamkan, bot berukuran 13 meter panjang itu adalah salah satu daripada bot yang cuba meredah perjalanan berbahaya sejauh 2,000 kilometer sebelum musim monsun bermula.
Pakar migrasi yang bekerjasama dengan pelarian Rohingya untuk meningkatkan kesedaran terhadap sindiket pemerdagangan manusia, Shakirul Islam berkata, keadaan yang makin teruk di kem pelarian menyebabkan golongan itu sanggup menggadai nyawa.
"Mereka hanya mahu keluar dari kem sesak terbabit dan kemudiannya terjerat dengan janji kumpulan sindiket yang aktif memperdaya mangsa," jelasnya.
Menurutnya, ratusan pelarian Rohingya membuat aduan tentang perkara itu sejak dua bulan lalu.
Sejak tahun lalu, agensi penguat kuasa undang-undang Bangladesh telah menahan lebih 500 pelarian Rohingya ketika mereka cuba menaiki bot untuk melalui perjalanan berbahaya tersebut. - AFP