SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memanfaatkan lebih 21,000 rakyat di 25 lokasi sepanjang jajaran lebuh raya kendaliannya sempena program Hari Komuniti MyPLUS.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merupakan kolaborasi strategik antara pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS yang mencerminkan semangat Malaysia Madani.
"Program ini diberi sedikit suntikan kelainan dengan kerjasama bersama KKR melalui program kementerian yang sedang giat dilaksanakan iaitu program MYJalan.
"Selain itu, ia juga merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berskala mega yang berimpak murni kerana ia memberi manfaat kepada kira-kira lebih 21,000 rakyat di komuniti terpilih sepanjang lebuh raya.
Hadir sama Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim; Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar serta pegawai kanan KKR, LLM dan PLUS.
Program berkenaan turut melibatkan 500 pelajar institusi pengajian tinggi antaranya Multimedia University (MMU), Kolej Komuniti Klang, INTEC Shah Alam, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan banyak lagi.
Sementara itu, Pengerusi PLUS, Datuk Mohammad Nasir Ab Latif berkata, Hari Komuniti MyPLUS tahun ini dijayakan lebih 1,250 warga kerja PLUS dengan penglibatan sukarelawan daripada warga KKR, pelajar institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
Jelas beliau, Hari Komuniti MyPLUS yang diperkenalkan sejak 2013 merupakan acara tradisi syarikat setiap tahun dengan memilih satu hari istimewa untuk membolehkan warga kerja turun padang ke komuniti sepanjang jajaran lebuh raya bagi menjalankan pelbagai projek kemasyarakatan.
"Program ini bukan sahaja menggalakkan budaya sukarelawan, malah turut memupuk semangat berpasukan dan daya kreativiti yang tinggi bagi menjayakan setiap aktiviti dirancang.
"Hari Komuniti MyPLUS tahun ini menyaksikan 25 projek kemasyarakatan dengan tema 'Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari' yang dijalankan secara serentak di komuniti terpilih sepanjang jajaran Lebuhraya PLUS termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)," tambahnya.
Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, program yang dijalankan serentak di 25 lokasi terpilih seluruh negara turut melibatkan pelbagai aktiviti komuniti di lapan sekolah, 11 kemudahan komuniti setempat dan enam pusat rekreasi.
Menurutnya, antara aktiviti yang dilakukan adalah kerja baik pulih kemudahan sekolah dan masjid, pemasangan papan tanda keselamatan serta tunjuk arah, pemasangan lampu jalan, mengecat lintasan penjalan kaki dan menanam pokok.