[VIDEO] Kerjasama Malaysia-UAE tingkat kesiapsiagaan bencana melalui kolaborasi Nadma, NCEMA

Iklan

ABU DHABI - Malaysia sedang meneroka potensi kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang mempunyai kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada pelbagai peluang kerjasama terutamanya dalam pengurusan bencana.

Iklan
Iklan

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia untuk mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE.

Ahmad Zahid (kanan) turut mengadakan perbincangannya bersama Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emiriah Arab Bersatu, Suhail Mohamed Al Mazrouei (kiri) bagi menerokai peluang kerjasama dalam sektor halal.

"Pengalaman UAE dalam menangani cabaran bencana yang kompleks memberikan pengetahuan berharga dalam usaha Malaysia untuk memperkukuh kesiapsiagaan bencana di Malaysia.

Iklan

"Melalui langkah strategi yang tepat, kita dapat meningkatkan ketahanan kita untuk melindungi masyarakat dan infrastruktur dengan lebih baik,” katanya dalam sidang media, di ibu pejabat NCEMA di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah ACTVET, Dr Mubarak Saeed Al Shamsi dan Timbalan Presiden NCEMA, Obaid Rashid AL Hassan Al Shamsi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Iklan
Ahmad Zahid

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selaras dengan ini, Nadma telah merangka empat cadangan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan bencana Malaysia.

Yang pertama Pemerhatian Bumi (Earth Observation - EO) di mana menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut dan keadaan persekitaran serta memberikan amaran awal terhadap potensi bencana.

Yang kedua, Sistem Platform Ketinggian Tinggi (High Altitude Platform System - HAPS) di mana menggunakan dron dan belon ketinggian tinggi untuk menangkap data resolusi tinggi bagi meningkatkan kesedaran situasi di kawasan yang terjejas.

Sementara itu, langkah ketiga ialah kecerdasan buatan (AI) dalam Pengurusan Bencana iaitu menggunakan teknologi AI untuk meramalkan bencana berdasarkan data sejarah, membolehkan amaran awal, ramalan jenis bencana, dan perancangan logistik. dan

Selain itu, penggunaan Kenderaan Tindak Balas Bencana Khas dengan mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE dalam pengurusan bencana untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas.

Tambah Ahmad Zahid lagi, kerjasama ini akan mengukuhkan lagi usaha dalam menyediakan bantuan bencana yang turut berlaku kepada negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

"Baru-baru ini, Malaysia telah menghantar helikopter EC725 dari Tentera Udara Diraja Malaysia bersama kru seramai 16 orang untuk menyokong Filipina terhadap Taufan Trami.

"Selain itu, Malaysia turut mengambil bahagian secara aktif dalam Persidangan Menteri Asia-Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Filipina dan Mesyuarat Menteri ASEAN ke-12 mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) di Brunei untuk mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko bencana serantau,” ujarnya lagi.

Selain luar pengurusan bencana, dalam satu pertemuan berasingan, Ahmad Zahid turut mengadakan perbincangannya bersama Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emiriah Arab Bersatu, Suhail Mohamed Al Mazrouei bagi menerokai peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan pengembangan potensi perdagangan halal.

"Kami turut membincangkan inisiatif untuk memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta meneroka kerjasama dalam sektor Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan,” tambah beliau.

Kolaborasi yang berpotensi tinggi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia-UAE - seterusnya mengangkat perkongsian ke tahap yang lebih tinggi serta meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan bersama dan pembangunan mampan.