Jerman keluarkan amaran ancaman keganasan untuk Pesta Bulan Penuh di Thailand

Iklan
Kedutaan Jerman di Bangkok telah mengeluarkan amaran perjalanan kepada pelancong yang merancang untuk melawat Pulau Koh Phangan di Thailand menjelang Pesta Bulan Penuh yang akan diadakan pada Jumaat.

BANGKOK - Kedutaan Jerman di Bangkok telah mengeluarkan amaran perjalanan kepada pelancong yang merancang untuk melawat Pulau Koh Phangan di Thailand menjelang Pesta Bulan Penuh yang akan diadakan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Amaran kedutaan itu dibuat berikutan laporan mengenai potensi ancaman pengganas yang secara khusus menyasarkan warga Israel di acara popular berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut laman sesawang kedutaan, beberapa hari kebelakangan ini, terdapat 'petunjuk mengenai kemungkinan serangan pengganas' yang menyasarkan acara itu serta festival muzik dan perhimpunan lain yang melibatkan ramai warga asing di seluruh Thailand.

Kedutaan itu berkata, pelancong di Thailand dinasihatkan supaya mengelakkan Pesta Bulan Penuh dan acara seumpamanya pada masa ini.

Iklan

Sementara itu, pasukan keselamatan di Wilayah Surat Thani memberi jaminan bahawa Koh Phangan selamat dan menolak laporan ancaman itu sebagai tidak berasas, lapor akhbar Bangkok Post.

Bagaimanapun, polis memaklumkan bahawa mereka tetap mempertingkatkan langkah keselamatan di pulau berkenaan.

Iklan

Pesta Bulan Penuh yang diadakan di Pantai Haad Rin sejak akhir 1980-an telah menjadi tarikan global, dengan kehadiran sehingga 30,000 pengunjung dari seluruh dunia. - Bernama/dpa