KUALA TERENGGANU - Program MyLesen B2 akan diperluaskan di institusi pendidikan di negara ini pada tahun depan bagi membantu pelajar dan golongan belia yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan lesen.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bagaimanapun setakat ini program tersebut memberi fokus membantu golongan berpendapatan rendah (B40) melibatkan pelbagai kategori yang berada di bawah senarai e-Kasih dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkaitan terutama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam merealisasikan program tersebut.
"Baru-baru ini saya ada membuat perbincangan bersama Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan juga bersama Ketua Pengarah Mara, Ketua Pengarah Pendidikan dan kita akan cuba pendekatan baharu yang mana program MyLesen ini akan dikembangkan di peringkat institut pengajian tinggi, kolej-kolej awam dan sekolah-sekolah bagi pelajar yang kurang berkemampuan.
"Ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya program MyLesen ini difokuskan kepada pelajar terutama mereka yang berumur 16 tahun ke atas serta belia yang berada di institut-institut pengajian awam yang tidak mampu, kurang berkemampuan dan masih tidak mempunyai lesen motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pihaknya akan memperincikan jumlah kuota yang akan diberikan kepada pelajar atau penuntut yang layak berdasarkan peruntukan yang diterima pada tahun depan.
"Tahun depan kita akan perincikan dan tumpuan kita kepada tumpuan akan diberikan kepada pelajar institut pengajian yang tidak mempunyai lesen dan kurang berkemampuan.
"Ia dapat dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Mara dan sebagainya selain meneruskan program MyLesen sedia ada," jelas beliau.