SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meneliti semula mekanisme kawalan caj hospital swasta yang dilihat semakin meningkat setiap tahun.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, ia bakal membebankan hospital kerajaan jika tidak ditangani segera kerana pesakit mungkin kurang berkemampuan untuk membayar bil dikenakan hospital swasta selepas ini.
Menurut beliau, ketika isterinya melahirkan anak sulung pada 2010, bil yang dikenakan hanya RM2,000, lama-kelamaan meningkat kepada RM4,000 hingga RM6,000 apabila bersalin anak kedua dan ketiga.
"Semua prosedur biasa tetapi naik secara berlipat-lipat. Prosedur perubatan memang dikawal oleh Akta Fi, namun caj-caj lain macam tak ada kawalan.
"Apabila masuk hospital, perkara pertama yang ditanya adalah ada insurans atau tidak, yang ada (insurans) akan kena teruk dan kita memang tiada pilihan pun.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media dalam sidang Parlimen berhubung Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell dimasukkan ke hospital swasta di ibu kota baru-baru ini, namun terkejut apabila bil yang dikenakan mencecah RM19,000.
Menurut O’Dell, caj tersebut tidak masuk akal kerana beliau sekadar menjalani ‘prosedur mudah’ dan menginap di hospital berkenaan selama satu malam.
Difahamkan, bil itu termasuk caj untuk 95 barangan merangkumi 13 kategori berbeza antaranya RM2,105 bekalan perubatan dan pembedahan serta RM3,850 bagi peralatan.
Selain itu, caj doktor hanya RM2,621 manakala ubat-ubatan RM2,606.
O'Dell turut membangkitkan kemungkinan terdapat dua sistem caj berbeza yang dikenakan oleh hospital swasta ke atas pesakit, walaupun mempunyai insurans.