SABAK BERNAM - Jabatan Perikanan Selangor menyita lima bot zon A dan peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda bernilai RM100,000.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, semua bot itu ditahan dalam operasi khas di Jeti Bagan Sungai Burung, Sungai Besar di sini pada Khamis.
Menurut beliau, operasi secara bersepadu yang bermula jam 8 pagi turut disertai Polis Marin dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
"Operasi ini dijalankan bagi mengesan bot zon A yang melakukan kesalahan dengan menggunakan pukat tunda yang tidak berlesen.
"Bot nelayan kelas A sepatutnya menggunakan pukat hanyut dan bukannya pukat tunda yang menjejaskan ekosistem marin," katanya ketika ditemui selepas operasi itu pada Khamis.
Jelas beliau, kegiatan bot A menggunakan pukat tunda di kawasan pesisiran pantai tidak pernah dilesenkan dan beroperasi secara haram.
Ujar beliau, hasil risikan mendapati, aktiviti menggunakan pukat tunda dikesan dilakukan nelayan sejak awal tahun ini.
"Penggunaan pukat tunda mengganggu kelestarian sumber perikanan.
"Semua bot yang disita itu dibawa ke Pusat Tahanan Vessel Kuala Selangor dan siasatan kes untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985," tegas beliau.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
"Kita berharap segala peraturan ini sentiasa dipatuhi semua pihak bagi memastikan sumber perikanan dapat diurus secara baik," katanya.