KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang milik syarikat Wetland Studios Sdn Bhd, tahun lalu.
Yong Lam Woei, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan RM795,750.64 milik Wetland Studios Sdn Bhd, di pejabat syarikat itu di Pusat Bandar Puchong, di sini, bermula Julai tahun lalu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadly Mohd Zamry mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
"Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin termasuk syarat tambahan sebagai mana yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Disember depan.