KUALA LUMPUR - Penggunaan teknologi Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) melalui peranti pengesan pergerakan dicadangkan di kawasan jalan raya yang kerap berlaku insiden ‘roadkill’ atau melanggar hidupan liar termasuk Harimau Malaya, kata Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, cadangan itu diutarakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Mesyuarat Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) Ke-3 semalam, yang turut dihadiri wakil negeri rayauan harimau iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
"Teknologi ini dilihat dapat menjimatkan kos berbanding pembinaan lampu jalan kerana peranti tersebut berupaya memberi isyarat melalui kerlipan lampu kepada pemandu sebagai langkah berjaga-jaga. Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan sedia menyokong pelaksanaan kajian bagi melihat kesesuaian inisiatif ini.
"Saya pula telah menyarankan supaya kadar had laju di kawasan ‘hotspot roadkill’ dikaji semula supaya pemandu lebih berhati-hati untuk mengelakkan risiko kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Nik Nazmi berkata, mesyuarat itu juga bersetuju supaya Malaysia menganggotai International Big Cat Alliance (IBCA) yang diterajui kerajaan India bagi mengukuhkan kerjasama strategik konservasi harimau dan habitatnya di peringkat antarabangsa.
Turut dipersetujui ialah pelaksanaan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya 2021-2030 ( MTCAP).
Selain itu, Nik Nazmi berkata, MyTTF Ke-3 juga mengambil maklum status pelaksanaan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya termasuk kejayaan operasi penguatkuasaan yang menyaksikan penangkapan 506 warga tempatan dan 116 warga asing dengan nilai sitaan lebih RM270 juta.
Mesyuarat juga mengambil maklum status pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya iaitu Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) yang melibatkan pendaftaran baharu dari Johor, Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.
Selain itu, Nik Nazmi berkata, beliau dimaklumkan terdapat peningkatan bilangan Harimau Malaya berbanding 2021 yang direkodkan kurang daripada 150 ekor, namun bilangan sebenar akan dilaporkan pada 2025 setelah keseluruhan data pemantauan dianalisis.
"Keberhasilan yang dicapai dalam konservasi Harimau Malaya menunjukkan bahawa usaha menyelamatkan akan membuahkan hasil jika kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan semua pihak sepakat dan meletakkan komitmen yang tinggi dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.
"Saya menyeru agar usaha (konservasi) terus dipertingkatkan bagi mengukuhkan lagi agenda negara dalam memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus buat selamanya,” katanya. - Bernama