PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memerlukan 63 minit untuk mengesahkan slot suku akhir Kejohanan Badminton Masters Jepun Super 500 di Gimnasium Kumamoto Prefectural, Kumamoto, pada Khamis.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum itu diajak bermandi peluh pemain nombor 34 dunia dari Taiwan, Su Li Yang, apabila tewas set pertama 19-21 sebelum bangkit untuk menang dua set berikutnya 21-8, 21-16.
Kemenangan itu membolehkan pemain nombor tujuh dunia berkenaan berdepan Jonatan Christie dari Indonesia yang menewaskan wakil Denmark, Rasmus Gemke, 22-20, 21-17 dalam masa 51 minit.
Turut sama layak, seorang lagi pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao yang menewaskan wakil Jepun, Koki Watanabe, 21-10, 16-21, 21-13 dalam masa 69 minit.
Bagaimanapun cabaran pemenang pingat gangsa Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berakhir selepas tewas kepada wakil Taiwan, Chiu Hsiang-chieh-Wang Chi-lin 21-11, 21-13 dalam masa 26 minit.
Turut mara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong berstatus nombor 40 dunia apabila menyerlah potensi diri dalam masa 36 minit dengan menjinakkan sensasi nombor lapan dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani straight set 21-9, 23-21.
Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga meneruskan kemaraan apabila menewaskan gandingan China, Zhou Zhi Hang- Yang Jia Yi, 21-19, 21-11 dalam masa 32 minit.
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, juga mara apabila bangkit tewas 18-21 dengan menghantar pulang beregu Indonesia, Rinoc Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, 24-22, 21-10 dalam masa 60 minit.