Kontena hempap kereta: Syarikat berdepan penggantungan lesen operasi

Iklan
Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta dipandu dihempap kontena yang dibawa sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam pada pagi Rabu. Gambar kecil: Anthony Loke

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Syarikat yang mengendalikan sebuah treler membawa kontena yang menghempap beberapa kenderaan di Pulau Pinang pada Rabu, bakal berdepan dengan penggantungan lesen operasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya syarikat berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan.

Iklan
Iklan

"Insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kementerian mengambil perhatian serius," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Ekonomi Maritim di sini pada Khamis.

Menurut beliau, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca kemalangan.

Iklan

"Saya melihat ini ada unsur kecuaian dan tidak mematuhi keselamatan oleh pengendali treler tersebut.

"Miros akan menjalankan siasatan lanjut adakah ia berkaitan dengan teknikal mahupun kecuaian.

Iklan

"Difahamkan panjang kontena tersebut 20 kaki manakala panjang treler itu boleh memuatkan dua kontena, namun pada hari itu hanya membawa satu kontena sahaja," jelas beliau.

Dalam kejadian pada pagi Rabu, seorang wanita berusia 21 tahun maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta dipandu dihempap kontena yang dibawa sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam.

Kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori 3 tan.

Pemandu treler berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Anthony menzahirkan rasa kecewa kerana pemandu treler itu dilihat seolah-olah tidak sensitif dengan nasib mangsa.

"Saya difahamkan dia dibawa ke mahkamah hari ini dan menunjukkan isyarat 'peace'.

"Orang macam ini dia bukan sahaja tidak menyesal malah tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan syarikat perkapalan yang beroperasi di Malaysia dan menghantar senjata api ke Israel untuk tujuan genosid, Anthony memaklumkan beliau belum menerima sebarang maklumat.

"Kita kena siasat jika ada dakwaan tersebut, kementerian akan melihat tindakan yang boleh diambil," ujar beliau.