KOTA BHARU - Seorang pekerja kilang batik dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta satu sebatan kerana memiliki kerambit dan gagal mengemukakan kad pengenalan diri.
Muhamad Azim Rafiq Mohamed Nor, 30, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulkifli Abllah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 27 September lepas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebilah kerambit berukuran 19.5 sentimeter tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa di tepi jalan Kampung Gajah Mati Melor, Bachok pada jam 5.30 petang 27 September lepas.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta pegawai polis semasa bertugas pada waktu dan lokasi sama mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25 (1) (n) yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda hingga RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Norzaimah Mohamad yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya menyara isteri dan tiga anak saudara yang kematian bapa dengan pendapatan RM500 sebulan. - Bernama