SEREMBAN - Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat akan dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang akan bersidang pada November ini.
Mufti Negeri Sembilan, Profesor Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin berkata, ia bagi melihat keperluan dan membuat keputusan sama ada satu fatwa khusus GISBH perlu dikeluarkan atau tidak.
"Keputusan atau sighah MKI itu belum disampaikan secara rasmi ke peringkat negeri.
"Jadi keputusan itu akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri yang akan bersidang pada akhir November ini bagi melihat keperluan dan membuat keputusan sama ada satu fatwa khusus GISBH perlu dikeluarkan atau tidak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, seperti yang telah dimaklumkan Menteri Besar baru-baru ini, Negeri Sembilan masih merujuk kepada pewartaan sesat Al-Arqam 2016 bagi tujuan penguatkuasaan terhadap para pengikut GISBH.
Jelasnya, penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah terhadap pengikut GISBH ketika ini adalah berdasarkan warta 2016.
Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi MKI, Datuk Nooh Gadut berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu, yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.
Beliau menjelaskan, ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ujarnya, ciri penyelewengan daripada ajaran agama Islam itu ialah Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Sheikh Muhammad Suhaimi adalah Imam Mahadi, Asaari Muhamad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi sebagai pembantu di akhir zaman, Asaari Muhamad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.
"Ciri penyelewengan lain ialah air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat," katanya.