SUNGAI PETANI - Dua lelaki termasuk seorang penjawat awam berjaya ditahan dalam tempoh empat jam selepas menyamun sebuah kedai menjual peralatan memancing di Jalan Lencongan Barat dekat sini Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kesemua suspek ditahan di kawasan Kampung Teluk Wang Besar dekat sini dan turut dirampas pelbagai peralatan memancing, wang tunai serta dadah dipercayai jenis ganja seberat 70.31 gram.
"Pada pukul 11.27 pagi 10 November lepas, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan mengenai kejadian samun menggunakan senjata api di sebuah kedai menjual peralatan memancing.
"Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan empat suspek masing-masing berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun, dua daripadanya dipercayai terlibat kes samun, manakala dua lagi (tidak terlibat samun) didapati positif dadah," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda dekat sini pada Khamis.
"Ini merupakan kali pertama suspek melakukan jenayah samun dan polis masih memburu seorang lagi suspek berusia 30-an yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu.
"Siasatan mendapati senjata api tanpa peluru itu milik salah seorang suspek yang dipercayai ketua kumpulan terbabit dan diperolehi dari negara jiran sejak 2008," katanya.
Wan Azharuddin berkata, keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 November ini untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata api, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Dua daripada empat suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh hubungi polis menerusi talian 04-4236999," katanya.
Dalam kejadian Ahad lepas, suspek dikatakan mengunjungi sebuah kedai menjual peralatan memancing dan berpura-pura untuk membeli peralatan sebelum bertindak melarikan peralatan memancing serta sejumlah wang tunai. - Bernama