SK Padang Rumbia harumkan nama Malaysia di peringkat global

Iklan
Mazlan (tengah) bersama pasukannya.

PEKAN - Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Rumbia terpilih mewakili Malaysia ke MakeX Robotics: World Championship 2024 yang bakal diadakan di Shenzhen University Town Sports Center, China pada Disember ini.

Meskipun tergolong dalam kategori sekolah kurang murid dengan jumlah keseluruhan hanya seramai 49 orang, namun tidak menghalang dua murid sekolah itu untuk mencipta nama di persada dunia.

Iklan
Iklan
Nurfakhira Aisyah (kiri) dan Norsyera Shariena sedang mengawal robot untuk menyusun kiub.

Ini semua bermula dengan kejayaan Nurfakhira Aisyah Mohd Fazli, 11, dan Siti Sofiyya Muhamad Hasanul Maaruf, 8, yang dinobatkan johan Pertandingan Robotik Kebangsaan MakeX Malaysia 2024 di KLCC, pada September lalu.

Guru SK Padang Rumbia, Mazlan Muhamad Yusof, 43, berkata, pembangunan robotik di sekolah itu bermula pada Julai lalu dengan meluaskan modul robotik selari dengan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) kepada murid.

Iklan
Mazlan

Menurutnya, walaupun berdepan dengan bakat terhad kerana kekurangan murid, namun saringan murid tetap dilakukan bagi mengenal pasti murid yang berbakat selepas mendapat dorongan daripada Guru Besar, Arman Mohamad Husin.

"Guru besar tidak mahu sekolah kampung (luar bandar) ketinggalan (dalam bidang teknologi), jadi saya cuba mencari bakat murid yang berfikir kritis dan berani menerokai bidang teknologi.

Iklan

"Tapi, kita tidak sangka dalam tempoh singkat, mereka menunjukkan bakat luar biasa dan berjaya menjadi juara (di peringkat ) kebangsaan pada September lalu, melayakkan mereka ke pertandingan di China," katanya ketika ditemui Sinar Harian di SK Padang Rumbia di sini, pada Khamis.

Mazlan (tengah) melihat latihan pasukannya dari SK Padang Rumbia dan Sk Temai sebagai persiapan hadapi pertandingan rabotik di China pada Disember depan.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, Kamal Hisham Ibrahim dan guru SK Temai, Kamisah Abdullah Hamid.

Mazlan yang merupakan mentor pasukan robotik berkata, pasukannya dalam usaha meningkatkan lagi kualiti latihan yang lebih intensif sebagai persiapan ke pertandingan di Shenzhen, China.

Jelasnya, latihan selama dua jam setiap hari termasuk hujung minggu dilakukan bagi memastikan peserta pertandingan mahir mengawal robot secara manual, dan mampu menggunakan alat kawalan jauh dengan baik.

Beliau juga pernah memenangi anugerah mentor terbaik di Guangzhou pada 2019 menambah, terdapat lapan misi yang perlu diselesaikan berdasarkan arahan ditetapkan.

Dari kiri: Nur Zuhaira Aisyah, Norsyera Shariena, Nurfakhira Aisyah dan siti Sofia memegang robot yang akan mereka gunakan dalam penyelesaian misi dalam pertandingan di China pada Disember depan.

"Kita bebas untuk mengubah suai atau menambah baik robot termasuk aksesori dan sebagainya mengikut kreativiti kita, tapi misi yang diberikan perlu diselesaikan.

"Jadi, murid perlu mengatur cara atau memprogramkan robot supaya dapat menjalankan dan melaksanakan misi-misi yang telah ditetapkan.

"Saya boleh kongsikan antaranya misi robot perlu buat adalah mengangkat objek dan membawanya ke tempat ditetapkan. Contohnya, mengalihkan dan menyusun kiub-kiub abjad," jelas beliau lagi.

Mazlan menambah, uniknya pertandingan ini, peserta boleh bekerjasama dan berkomunikasi dengan pasukan lain untuk mendapatkan markah yang tinggi.

Kamal Hisham (dua dari kanan) melihat latihan pasukan rabotik dari SK Padang Rumbia dan Sk Temai pada Khamis.

Justeru, pasukan SK Padang Rumbia memilih SK Temai sebagai rakan pasukan yang akan bersaing dalam pertandingan tersebut.

Katanya, dua murid terlibat, Shariena Abdullah, 12, dan Nur Zuhaira Aisyah Zaulkafly, 8, akan mencuba mengorak kejayaan di pertandingan yang berprestij tersebut.

"Dasarnya, setiap pasukan pergi secara berasingan tapi bila sampai ditempat pertandingan kita perlu bekerjasama, dan ada pasukan lain bergabung bagi mendapatkan markah tertinggi setelah menyelesaikan misi robot. Itu syaratnya," katanya.

Nurfakhira Aisyah (kiri) dan Norsyera Shariena (dua dari kiri) mengawal robot sambil diperhatikan Mazlan.

Selain itu, Mazlan turut berhasrat untuk membawa kejayaan kepada sekolah luar bandar ini, walaupun mereka baru sahaja terlibat dalam pertandingan yang mencabar ini.

"Namun, peluang untuk menang sentiasa terbuka kerana murid-murid sangat bermotivasi untuk menyertai dan yang penting adalah persiapan minda mereka, dan itu petanda baik," katanya.

Menjawab mengenai penajaan, Mazlan memberitahu, pasukannya mengharapkan sumbangan daripada semua pihak bagi memantapkan lagi teknologi robot yang dihasilkan itu.

Walau bagaimanapun pasukan ini telah menarik perhatian pelbagai pihak yang berminat membantu antaranya Yayasan Allammiyyah.

"Kita bertanding dengan banyak negara, jadi teknologi mereka jauh ke depan dan kita harap ada bantuan supaya kita dapat perbaiki dan tambah baik peralatan yang kita ada," katanya.