KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan Pihak Berkuasa Koridor (PBK) memainkan peranan seperti yang ditetapkan dan tidak bertindih dengan tugas agensi lain, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, PBK bertanggungjawab untuk menyediakan hala tuju, merangka dasar dan strategi yang menggalakkan dan mempercepatkan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor.
"Yang itu akan diteruskan. Tetapi yang dibuat oleh jabatan lain itu akan diteruskan oleh jabatan berkaitan.
"Di Kementerian Ekonomi, kami menggunakan PBK ini untuk memberi peruntukan untuk membuat sesuatu,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Rafizi berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) perlu bekerjasama rapat dengan PBK bagi memastikan proses pelaburan yang diterima dilaksanakan mengikut tata kelola yang lebih baik.
"Memang ada mesyuarat berkala di antara MIDA dan PBK yang dipengerusikan oleh saya sendiri yang sebelum ini tidak pernah berlaku. Jadi perkara itu dibincangkan bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, banci pertanian telah siap sepenuhnya dan Kementerian Ekonomi sedang dalam proses menyelaraskan data dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum dibentang pada suku pertama tahun depan.
Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang mengenai keperluan membentangkan Kertas Putih Pertanian di Parlimen memandangkan ini merupakan kali pertama keadaan keterjaminan makanan negara dinilai dalam tempoh dua dekad.
Mengenai Ekonomi Biru iaitu ekonomi berasaskan laut, perikanan dan sebagainya, beliau berkata, kementerian berkenaan bakal melaksanakan dan memuktamadkan kajian mengenai ekonomi biru dengan peruntukan RM2.45 juta bagi tujuan itu.
Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan RUU Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta selepas mendapat lebih suara bersetuju.
Terdahulu, 16 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa. - Bernama